IPOH: UMNO Perak belum membuat sebarang pendirian berhubung pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada Perhimpunan Agung parti itu bulan depan.

Pengerusinya Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak yang dijadualkan 8 Jan ini.

Katanya, perkara itu juga tertakluk kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang dijadualkan bermesyuarat pada 5 Jan.

"UMNO Perak belum buat keputusan kerana kita hanya akan mengadakan mesyuarat Perhubungan pada 8 haribulan, malam, tetapi MKT akan bermesyuarat pada 5 haribulan, iaitu Khamis ini.

"Kita akan bincang dengan Majlis Tertinggi dahulu, tengok keadaannya, sebab ada pro dan kontra. Ada yang kata bagus, ada yang kata tak bagus. Kita tengok keadaannya," katanya.

Saarani ditemui selepas penyampaian sumbangan dana pendidikan kepada pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan insentif kepada Pasukan Hoki Lelaki Perak di pejabatnya di sini, hari ini.

Sebelum ini beberapa pemimpin UMNO, termasuk Ketua-ketua Bahagian, mendesak agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan, demi memastikan kesatuan dalam parti.

Bagaimanapun, banyak pihak berpandangan agar kedua-dua jawatan itu wajar dipertandingkan demi menyuburkan demokrasi di dalam parti.

Pada Isnin, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti belum memutuskan mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT.

Pada Selasa, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, biar perwakilan yang menentukan perkara tersebut.

Bercakap dalam program bual bicara bertajuk Rekonsiliasi Politik - Apa Untung Pada Negara, Presiden UMNO itu mengakui beliau seorang yang demokratik.